|

YB DATO' MUKHRIZ MAHATHIR TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
MAJLIS PERASMIAN JONKER WALK KOPITIAM KLIA DAN SKY TRAVEL MART KLIA
8 FEBRUARI 2010
LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (KLIA)
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Aris Othman, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB),
Yang Berbahagia Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB),
Yang Berbahagia Dato’ Abdul Ghafar Musa, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia.
1. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izinnya, dapat jua kita bersama-sama dalam majlis yang sungguh bermakna ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kerana sudi bersama-sama MITI untuk menganjurkan majlis perasmian dua premis usahawan Bumiputera di KLIA iaitu Jonker Walk Kopitiam dan Sky Travel Mart.
2. Sesungguhnya, majlis pada pagi ini merupakan satu lagi catatan sejarah yang memperlihatkan salah satu usaha
MITI dalam membantu memperluaskan lagi pasaran produk dan perkhidmatan usahawan Bumiputera melalui kerjasama dengan Government Link Company (GLC) iaitu Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB). MITI juga telah merangka pelbagai program sepanjang tahun 2010 khusus untuk pembangunan keusahawanan, bermula dengan pemupukan budaya keusahawanan hinggalah kepada pemasaran produk dan perkhidmatan usahawan kepada pengguna dalam negara mahupun luar negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3. MITI bukan hanya terlibat dalam hal-hal perdagangan dan perindustrian
sahaja, malah turut berperanan sebagai salah sebuah agensi peneraju bagi pembangunan usahawan Bumiputera yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam semua sektor. MITI juga sentiasa berusaha untuk memupuk budaya keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia dengan penekanan khusus diberi terhadap pembangunan dan penglibatan usahawan Bumiputera bagi mempercepatkan pencapaian matlamat pengwujudan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
4. Untuk makluman hadirin sekalian, program ini pada asalnya merupakan hasil usahasama strategik antara
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) (sebelum pembubaran) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada Ogos 2007. Bagi memastikan usahawan Bumiputera terus terbela dan mendapat manfaat daripada program yang mempunyai impak yang tinggi, program ini diteruskan di bawah Seksyen Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, Bahagian Pembangunan Keusahawanan (BPU) MITI dengan menggunakan pendekatan yang lebih holistik dan dinamik, khususnya dalam aspek pemasaran bagi menarik lebih ramai pengunjung ke premis ini. Antara tujuan utama Program Kerjasama MITI dan MAHB adalah untuk:
i. Mewujudkan jalinan kerjasama strategik antara usahawan Bumiputera dan Government Link Companies (GLC) dalam usaha membangunkan usahawan Bumiputera di negara ini.
ii. Menggalak dan mempromosi produk IKS Bumiputera dan memberi peluang kepada usahawan untuk menjalankan perniagaan di KLIA dan LCCT.
iii. Memperluas dan memantapkan pasaran domestik usahawan Bumiputera.
5. Dalam hal ini, MITI dan MAHB bersetuju untuk bekerjasama bagi memberi peluang dan membangunkan
usahawan Bumiputera yang berkualiti menerusi aktiviti pemasaran dan promosi produk dan perkhidmatan di bawah premis atau ruang niaga yang disediakan di bawah MAHB yang dikenali sebagai Jonker Walk Kopitiam dan Sky Travel Mart di KLIA. MITI ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAHB kerana melaksanakan sebahagian daripada program Corporate Social Responsibility (CSR) yang saya rasa perlu di contohi oleh GLCs yang lain.
6. Saya berharap usahawan Bumiputera yang diberi peluang untuk beroperasi di KLIA seperti Jonker Walk Kopitiam dan Sky Travel Mart dapat mengenengahkan produk-produk
Malaysia, khususnya keluaran Bumiputera kepada pengunjung dari luar negara. Hal ini adalah kerana KLIA merupakan pintu masuk utama bagi pelancong asing ke negara ini. Oleh itu, dengan adanya platform sebegini yang telah disediakan menerusi kerjasama antara MITI dan MAHB, usahawan Bumiputera yang terlibat perlu menggunakan sebaik mungkin peluang ini untuk memperkenalkan produk usahawan Bumiputera yang berkualiti ke pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Saya telah dimaklumkan bahawa pembukaan kedua-dua premis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung KLIA. Dengan jualan purata kedua-dua premis ini sebanyak RM250,000 sebulan
dan purata pengunjung 1000 orang sehari, saya harap selepas pelancaran rasmi pada hari ini, jualan tersebut akan meningkat kepada RM500,000 sebulan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Menerusi program sebegini, MITI sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada GLCs yang lain dan pihak swasta untuk memberi sokongan sewajarnya dalam membantu membangunkan usahawan Bumiputera agar mereka dapat bersaing dengan syarikat-syarikat terkemuka yang lain.
8. Akhir kata saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas inisiatif Bahagian Pembangunan Keusahawanan
(BPU), khususnya Seksyen Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran dan MAHB yang berusaha untuk membantu membangunkan usahawan Bumiputera yang berjaya dalam bidang perniagaan. Saya mendoakan agar kerjasama ini menempa kejayaan cemerlang dan dapat memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dalam membantu usahawan Bumiputera.
9. Dengan harapan itu dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Jonker Walk Kopitiam dan Sky Travel Mart KLIA.
Sekian, terima kasih.
|