Thursday February 25, 2010
|
| MITI Pertimbang Bina Makmal Pemeriksaan Lengkap Bagi Produk Makanan Dan Herba |
|
MELAKA, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mempertimbangkan permintaan untuk membina sebuah makmal pemeriksaan lengkap bagi produk makanan dan herba bagi tujuan persijilan komprehensif sebelum dieksport ke luar negara. Timbalan Menterinya Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata pada masa ini pengeksport produk makanan dan herba menggunakan kemudahan makmal di Singapura bagi tujuan persijilan sebelum dieksport terutama bagi pasaran Kesatuan Eropah (EU). "Produk makanan dan herba negara ini yang telah menerima pengesahan dan persijilan di Singapura, akan diterima mudah memasuki pasaran EU, walaupun sebenarnya ia berasal dari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis bersama Usahawan dan Pengeksport yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE) di sini Khamis. Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai makmal untuk tujuan persijilan dan pengesahan kesihatan produk makanan dan herba bagi tujuan eskport. "Oleh itu Singapura telah digunakan sebagai pintu transit sebelum produk itu dieksport dan produk itu dikira sebagai barangan mereka (Singapura)," kata Mukhriz. Beliau berkata dalam beberapa siri perjumpaan di negeri-negeri serta lawatan oleh beberapa persatuan ke kementerian, perkara yang sama telah dirujuk dan sudah tiba masanya untuk mewujudkan makmal seperti di Singapura itu dipertimbangkan. Katanya, negara China umpamanya menerusi Perbadanan Pemeriksaan China baru-baru ini telah memeterai satu perjanjian untuk semua produk makanan negara ini yang dieksport ke negara itu dilakukan pemeriksaan di sini. "Ini sebagai langkah untuk memudahkan pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu bagi barangan negara ini memasuki pasaran China," katanya. Mukhriz juga berkata kementerian akan mempertimbang untuk mewujudkan pejabat MITI di Melaka kerana terdapat banyak permintaan pengeskport di negeri ini untuk berurusan. Menurutnya pengeksport pada masa ini berurusan dengan pejabat MITI sama ada di Putrajaya dan Johor Baharu bagi tujuan dokumen dan persijilan. Terdahulu, ketika berucap, Mukhriz berkata China dan Hong Kong adalah pasaran terbesar eksport negara pada tahun lepas yang berjumlah RM96.1 bilion atau 17.4 peratus daripada keseluruhan eksport RM553.3 bilion. Katanya jumlah eksport sebanyak RM553.3 bilion adalah penurunan sebanyak 16.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Beliau berkata MITI menerusi MATRADE yang mempunyai 40 buah pejabat di seluruh dunia akan terus membantu para pengeksport menerusi pelbagai program yang diperkenalkan. -- BERNAMA
Source: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=477940
|
|