Monday February 22, 2010
|
| Model ekonomi baru tetap beri bantu Bumiputera |
|
ALOR SETAR: Kerajaan memberi jaminan Model Ekonomi Baru yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi akan terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata beliau yakin penggubalan model ekonomi itu juga akan selari dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mahu memperbaiki penguasaan golongan Bumiputera dalam pengagihan kekayaan ekonomi negara tanpa mengenepikan kaum lain.
"Sudah pasti kerajaan dalam merangka sesuatu dasarnya akan memberi perhatian serius terhadap semua aspek dan bagi Model Ekonomi Baru kerajaan pastinya turut memberi tumpuan untuk meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera.
"Cuma apa yang diharapkan nanti ia dinyatakan dengan jelas supaya golongan Bumiputera, khususnya usahawan memahami dan tidak wujud kebimbangan di kalangan mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Perdana Pembangunan Insan di sini, hari ini.
Forum itu dianjurkan Umno Bahagian Pokok Sena dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Insan Kedah.
Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan Pengerusi Yayasan Pembangunan Insan Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengenai masa depan ekonomi bangsa itu apabila kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru mulai tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan perincian Model Ekonomi Baru bulan depan.
NGO terbabit juga berharap kerajaan tetap memberi tumpuan kepada usaha membantu usahawan Bumiputera dalam model baru itu bagi memastikan golongan itu boleh bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka.
Mukhriz berkata, beberapa pemimpin NGO, kesatuan ekonomi Melayu dan usahawan Bumiputera ada menemuinya bagi menyuarakan kebimbangan itu.
Katanya, beliau yakin Perdana Menteri akan memberi perhatian sewajarnya terhadap kebimbangan itu dan merangka model yang mampu memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengenepikan kepentingan sesuatu kaum.
Source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Mutakhir/20100220150004/Article/
|
|