|
SEPANG 8 Feb. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenal pasti beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) yang boleh membantu usahawan bumiputera memperluaskan lagi produk dan perkhidmatan mereka di pasaran dalam dan antarabangsa.
Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, usaha itu selaras dengan pendekatan kementerian yang lebih holistik dan dinamik dalam membantu usahawan bumiputera mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti GLC terbabit kerana pihaknya kini dalam proses perbincangan awal.
"Kita percaya jalinan kerjasama dengan GLC itu memang mempunyai potensi yang besar bukan sahaja kepada usahawan bumiputera mengembangkan perniagaan mereka.
"Malah, MITI sendiri kerana ia memberi peluang untuk mengenal pasti produk tempatan yang berpotensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan dua premis usahawan bumiputera, Jonker Walk Kopitiam dan Sky Travel Mart di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.
Buat masa sekarang, kira-kira 66 peratus peniaga di KLIA adalah bumiputera.
Turut hadir Pengerusi Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), Tan Sri Dr. Aris Othman.
Mukhriz berkata, setakat ini, pihaknya menjalin kerjasama dengan MAHB dalam mengetengahkan usahawan Industri Kecil Sederhana bumiputera yang berpotensi berniaga di KLIA atau lain-lain lapangan terbang di bawah pengurusan MAHB seluruh negara.
"Apa yang kita buat dengan MAHB adalah menjadikannya sebagai satu 'pintu masuk' untuk kita membuktikan kepada pasaran bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh usahawan bumiputera adalah kompetitif," katanya.
"Oleh itu adalah penting usahawan bumiputera diberikan peluang dan ruang untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka," katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_31.htm
|