|
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- China Inspection Company Limited (CIC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China Inspection Consultancy (M) Sdn Bhd (CICM) pada Khamis bagi menyediakan perkhidmatan perundingan pengujian dan pelabelan bagi syarikat-syarikat Malaysia yang menjual produk masing-masing kepada China dan Hong Kong. CIC adalah wakil tunggal Pentadbiran Am Kualiti, Penyeliaan, Pemeriksaan dan Kuarantina China di Hong Kong. Ketua Pegawai Eksekutif CICM, Lee See Kok, berkata di bawah MoU itu, CICM akan menyediakan perkhidmatan perundingan tentang pempakejan, fakta pemakanan dan penterjemahan kepada syarikat-syarikat Malaysia manakala CIC akan mengendalikan pengujian, pensijilan dan pengesahan. "Kami menyediakan perkhidmatan bebas dan profesional bagi membantu pengeluar menyelesaikan masalah yang mungkin timbul dari sudut kualiti dan kuantiti sebelum penghantaran bagi mengurangkan risiko pelaburan," katanya kepada Bernama di luar upacara menandatangani MoU itu di sini Khamis. Upacara menandatangani itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Lee berkata syarikat itu akan menyediakan perkhidmatan perundingan bagi produk makanan dan kemudian memperluaskannya bagi merangkumi barang mainan, produk elektromekanikal dan kosmetik. Kementerian Kesihatan China mensyaratkan label pemakanan atau dakwaan pemakanan di atas semua makanan siap dipakej, termasuk makanan import, bagi memenuhi syarat Sistem Pelabelan Pemakanan Makanannya. Label pemakanan itu mestilah menyatakan kandungan tenaga, protein, lemak, karbohidrat, sodium dan sebarang dakwaan khasiat makanan lain. Sementara itu, Mukhriz berkata eksport produk Malaysia ke China dijangka meningkat berikutan pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas China-Asean pada 1 Jan. Pada masa ini, katanya, China merupakan destinasi eksport kedua terbesar bagi Malaysia. -- BERNAMA
Source: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=473371
|