|
SHAH ALAM 25 Jan. - Pengeluar sistem teknologi pelindung anti kakisan bahan alocit dan enviropeel yang pertama di negara ini, Kumpulan A&E menjangkakan perolehan berjumlah RM75 juta dalam tempoh dua tahun lagi.
Jangkaan itu berdasarkan pembukaan ibu pejabat globalnya yang baru, sekali gus bakal meningkatkan permintaan pasaran dalam dan luar negara selain juga kapasiti pengeluaran syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arthur Haycox berkata, pihaknya telahpun mulai mengalami peningkatan kapasiti pengeluaran berikutan operasi kilang baru.
Katanya, sebelum ini, pihaknya hanya mengerakkan dua buah mesin sebulan manakala pada tahun ini, kilang pengeluaran berkeupayaan menggerakkan enam buah mesin seminggu.
"Pencapaian jualan pada tahun ini juga disasar jauh lebih baik berbanding tahun lalu berikutan peningkatan kapasiti pengeluaran syarikat,'' katanya selepas menghadiri majlis perasmian ibu pejabat baru Kumpulan A&E di sini hari ini.
Bangunan baru itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan A&E, Mazlan Abd. Majid.
Perolehan syarikat pada tahun lalu adalah RM20 juta manakala pada tahun ini dijangka RM30 juta.
Kumpulan A&E sudah mengeksport produknya ke Amerika Syarikat, benua Eropah, Asia Barat, Afrika Selatan dan beberapa buah negara lagi.
Sebanyak 85 peratus produknya dieksport ke seluruh dunia manakala 15 peratus untuk pasaran tempatan.
Produk anti kakisan Kumpulan A&E mampu bertahan sehingga 30 tahun dan ia merupakan teknologi dan kepakaran dari Malaysia.
Haycox menambah, pada tahun ini, pihaknya akan memberi fokus kepada pasaran tempatan selain antarabangsa.
Katanya, produknya banyak digunakan untuk pelbagai sektor industri iaitu 30 peratus luar pantai, 30 peratus perlombongan manakala 40 peratus lagi untuk marin, pertahanan dan komponen peralatan industri.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_07.htm
|