|
PETALING JAYA, 22 Jan -- Frontier International (M) Sdn Bhd, pengeluar suplemen kesihatan halal global menjangka menjana jualan kira-kira RM10 juta tahun ini menerusi produk siri Angkasa mereka. Pengasas Frontier International, Dr S.J. Jong berkata sejak penubuhannya pada 2004, syarikat itu berkembang pada purata 20 peratus setahun. "Dengan promosi yang giat dan jerayawara bagi siri produk terbaharu kami, Angkasa, kami yakin dapat mencapai sasaran itu pada akhir tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran siri baharu dan kedai utamanya Frontier International, di sini, pada hari Jumaat. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, merasmikan majlis itu. Turut hadir ialah angkasawan pertama negara dan juga salah seorang rakan kongsi syarikat itu Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Di Malaysia, Jong berkata syarikat itu merancang membuka 30 kedai pada akhir tahun ini. "Kami melabur kira-kira RM2 juta bagi kedai utama ini dan memperuntukkan RM6 juta bagi semua kedai lain yang telah dirancang. "Pelaburan bagi kedai bergantung kepada lokasi. Sebagai contoh, kami merancang melancarkan kedai kedua kami pada awal Mac di Sarawak, dengan pelaburan kecil antara RM20,000 dan RM50,000," katanya. Apabila ditanya mengenai persaingan dalam pasaran penjagaan kesihatan halal Malaysia, beliau berkata sesetengah produk di sini tidak diterima di negara-negara lain berikutan halangan undang-undang. "Frontier, bagaimanapun mempunyai beberapa kelebihan, kerana ia mendapat pengiktirafan daripada kebanyakan penyedia persijilan halal global," jelas Jong. Mengenai perkembangan lain, syarikat itu menyasar menguasai sekurang-kurangnya 20-30 peratus daripada segmen suplemen kesihatan halal Malaysia tahun ini. "Ketika ini, kami memiliki kurang daripada lima peratus, tetapi kami menyasar pertumbuhan positif dari segi bahagian pasaran, tahun ini," katanya. Frontier juga merancang mengeluarkan produknya dalam negara, bermula Mac ini. Jong berkata ketika ini syarikat itu memiliki kilang seluas 6000 kaki persegi di Subang, menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan. "Bagaimanapun, tidak semua 60 produk kami akan dikeluarkan di sini kerana sesetengah kelengkapan dan bahan mentah mudah pecah dan berat. Ia akan membawa kos yang besar kepada kami untuk mengangkut barangan ini, ke sini," katanya. Sementara itu, Jong berkata syarikat tersebut yang mengamalkan pemasaran rangkaian dan model perniagaan kedai berkonsep, tidak bercadang menfrancaiskan outletnya buat masa ini. Siri Angkasa baharu itu juga akan dipamerkan di Ekspo Makanan Halal Dunia Dubai pada bulan depan, katanya. -- BERNAMA
Source: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=470358
|